Pokok dukung anak


Nama Saintifik: Phyllanthus Niruri
Famili: Eurphorbiaceae
Nama Biasa: Dukung Anak
Nama lain: Kelek anak, meniran(indonesia),Bhuaionla, kiranelligida(india)
Lokasi dijumpai: Di tepi longkang dan di kawasan pertanian

Keterangan
Dikenali dengan nama meniran bagi masyarakat indonesia , tumbuhan ini termasuk dalam keluarga Eurphorbiaceae. Selalunya tumbuh di kawasan yang tanahnya agak keras, seperti di celah retakan simen. Juga boleh didapati di kawasan kebun-kebun sayur dan tanah terbiar. Daun pokok ini adalah dari jenis majmuk bipinat, daunnya kecil berwarna hijau yang agak gelap dan tersusun berselang seli dengan jarak lebih kurang 6-10mm. Ia adalah herba tahunan(annual) dengan ketinggian lebih kurang 30-60 cm. Ia mempunyai bunga yang berwarna putih kekuningan dan satu tangkai bunga mempunyai bunga-bunga kecil yang banyak . Terdapat dua jenis bunga iaitu bunga jantan dan betina. Kapsul bijinya sangat kecil, berpermukaan licin dan dari jenis 3-gonous. Kitaran dari satu biji ke biji yang berikutnya adalah 2 hingga 4 minggu. Dukung anak tumbuh di kawasan yang beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia,Thailand. Juga terdapat di China, India dan dalam kawasan antara Filipina dan cuba. Di kebanyakan tempat ia mendatangkan masalah kepada petani kerana selalunya tumbuh di kawasan pertanian dan dianggap rumpai yang sukar dikawal.

Khasiat Dan Kegunaan
Akar, daun, buah, jus dan keseluruhan tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan. Perubatan ayurveda ia digunakan sebagai penghilang dahaga, bronchitis, kusta, anemia, penyakit kelenjar kencing, anuria dan asma. Boleh juga digunakan untuk mengubat penyakit berak berdarah (dysentery) yang kronik (mengikut kaedah perubatan unani dari India). Buahnya digunakan untuk mengubati luka, kerengsaan, penyakit kudis buta (scabies) dan kurap. Akarnya pula (yang masih segar) adalah penawar yang berkesan untuk penyakit kuning (jaundice) terutamanya pada bayi yang baru lahir. Daun yang telah dilumatkan dan dicampur dengan sedikit garam dapur boleh merawat jangkitan kudis buta(scabies).

Jika tidak dicampur garam ia boleh ditampal pada luka dan lebam. Ia juga boleh digunakan untuk merawat bisa gigitan ular. Tumbuhan ini juga boleh digunakan sebagai tuba(racun) ikan. Kaedah perubatan ayurveda banyak menggunakan tumbuhan ini samaada dalam bentuk tumbuhan ini dikeringkan dan dijadikan serbuk atau terus menggunakan tumbuhan ini dalam bentuk tumbuhan segar. Walaupun masih sukar untuk menentukan apakah kandungan dalam tumbuhan ini yang menyebabkan ia mempunyai nilai perubatan yang tinggi, ada kajian yang menunjukkan ia memberikan kesan positif untuk mengubati penyakit hepaptitis B, dalam satu kajian, didapati 22 daripada 37, iaitu sebanyak 59% dari pembawa virus hepatitis B yang dirawat dengan persediaan herba dari tumbuhan ini selama sebulan telah kehilangan antigen hepatitis B setelah di uji selepas 15 hingga 20 hari selepas rawatan selesai.

Jika menggunakan rawatan biasa hanya 4% dari pembawa akan kehilangan antigen untuk tempoh yang sama. Persediaan herba ini hendaklah di amalkan selama sebulan atau lebih untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Jika digunakan secara biasa, tiada kesan sampingan didapati setakat ini. Namun anda dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor sebelum memulakan rawatan. Walaupun ia membantu mengurangkan jumlah virus hepaptitis B yang dijumpai didalam darah, ia masih tidak dapat menghilangkan kesemuanya, jadi ia bukanlah penawar kepada penyakit ini, namun mengambilannya dapat mengurangkan dan mengawal pertumbuhan dan pertambahan virus hepatitis B. Kajian lanjut masih dijalankan oleh para saintis mengenai kegunaan dukung anak untuk merawat hepatitis B.

Apa kegunaan pokok Dukung Anak?

Perlindungan Hati
Herba in lazimnya digunakan untuk merawat jaundis (sakit kuning) dan hepatitis. Di China dan India, kajian untuk menilai kesan pelindungnya terhadap hati dibuat dengan mengenakan haiwan makmal kepada toksin hati (bahan yang meracuni hati) seperti alkohol dan parasetamol. Dalam setiap kes, kesan pelindung telah terbukti. Keputusan ini menyerupai kesan pelindung hati yang terhasil oleh sejenis herba tempatan lain, iaitu Hempedu Bumi (Andrographis paniculata).

Anti-Hepatitis B
Pada lewat 1980-an, kalangan penyelidik dan pengamal perubatan herba telah amat terangsang berikutan ujian yang berjaya terhadap herba ini dalam menentang virus Hepatitis B, virus yang menyebabkan sejenis jangkitan beransur-ansur yang dikaitkan dengan barah hati dan dianggarkan dihidapi oleh sekitar 300 hingga 500 juta orang di seluruh dunia. Manakala sains masih sedang mencari-cari suatu rawatan yang mampu melumpuhkan virus ini dan mencegahnya daripada merebak, beberapa kajian terhadap Dukung Anak telah menunjukkan kesan antivirus yang memberangsangkan dalam menentang Hepatitis B. Namun begitu, ujian selanjutnya di tempat lain menghasilkan keputusan yang bertentangan tanpa sebarang perubahan dilihat.

Perbezaan-perbezaan ini mungkin di sebabkan oleh kelainan aras kandungan bahan aktif dalam contoh-contoh yang digunakan. Dalam semua ujian ini, para penyelidik tidak mendapati sebarang kesan sampingan atau tindak balas negatif dan merumuskan bahawa herba ini selamat dan tak toksik. Sekiranya digunakan secara bergandingan dengan herba lain, Dukung Anak sekurang-kurangnya menawarkan satu rawatan alternatif yang berpotensi untuk merawat Hepatitis B.
Batu karang (batu buah pinggang dan batu hempedu)

Di Amerika Selatan, Dukung Anak merupakan penawar yang digunakan dengan paling meluas untuk merawat masalah batu karang, baik batu buah pinggang mahupun batu hempedu, sehingga ia digelar oleh masyarakat tempatan sebagai “Penghancur Batu”. Dalam satu kajian klinikal pada tahun 1999 (Campos, A. H. dan rakan-rakan), pati Phyllanthus Niruri telah menunjukkan kesan perencat tak berkait kepekatan yang ampuh dan berkesan terhadap pembentukan hablur kalsium oksalat (ketulan bahan bina yang menghasilkan kebanyakan batu buah pinggang). Ini boleh menjelaskan penggunaannya dalam kaedah perubatan tradisional untuk mencegah pembentukan batu buah pinggang. Herba ini dipercayai memiliki sifat-sifat unik sebagai bahan antikejang dan pengendur otot khusus bagi saluran kencing dan saluran hempedu yang, mengikut tekaan para penyelidik, memudahkan penyingkiran batu buah pinggang, batu pepundi kencing dan batu hempedu.

Antivirus
Penyelidikan terbaru terhadap Phyllanthus Niruri menunjukkan bahawa aktiviti antivirusnya merangkumi ‘virus kurang imun manusia’ (human immunodeficiency virus) atau HIV, iaitu virus yang menyebabkan penyakit AIDS. Sekumpulan penyelidik Jepun menemukan sifat-sifat perencat virus HIV-1 pada tahun 1992 dengan satu pati ringkas daripada pokok ini. Pusat Penyelidikan Farmaseutik Bristol- Myers Squibb telah mengasingkan sekurang-kurangnya satu daripada juzuk (kandungan) pada pokok ini yang menyumbangkan kepada aktiviti ini – iaitu sebatian unik yang mereka namakan “niruriside”.
Manakala dianggarkan bahawa waktu yang lama lagi masih perlu dilalui sebelum herba ini diambil masuk ke dalam senarai dadah farmaseutik piawai, ia kini digunakan oleh para pengamal perubatan herba dan kesihatan alamiah di serata dunia dalam pelbagai rumusan untuk masalah-masalah tersebut di atas. Bagaimanapun, dalam bidang perubatan pencegahanlah barangkali herba seperti Phyllanthus Niruri digunakan secara paling meluas. Keperluan ini kini menjadi sekian menyerlah dalam menghadapi ancaman semakin membesar daripada pelbagai penyakit virus yang kita tidak mempunyai sebarang rawatan ortodoks untuk menentangnya. Paling utama, herba ini tidak toksik dan bila digunakan secara bergandingan dengan herba lain, membantu meningkatkan sistem pertahanan tubuh kita terhadap ketoksikan (keracunan) dan penyakit.



Penanaman

Dukun anak dibiak mengunakan biji benih. Penyemaian boleh dilakukan dengan mengunakan dulang menyemai stirofon. Anak benih yang bercambah sedia untuk dipindahkan ke dulang penanaman selepas 7 hari kemudian. Ketinggian anak benih pada masa ini dalam lingkungan 10-15mm.

No comments:

Post a Comment