Maka Raja Suran
fikir dalam hatinya, “Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, dan segala
isi laut bagaimana gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke
dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya.” Setelah baginda berfikir
demikian, maka baginda pun menyuruh menghimpunkan segala pandai dan
utus, maka dititahkan baginda berbuat sebuah peti kaca berkunci dan
berpesawat dari dalam. Maka diperbuatlah oleh segala utus itu sebuah
peti kaca seperti kehendak Raja Suran itu, dan diberinya berantai emas.
Setelah sudah maka dibawanyalah ke hadapan Raja Suran; maka baginda pun
terlalulah sukacita melihat perbuatan peti itu, maka baginda memberi
anugerah akan segala hakim dan utus itu, tiada terkira-kira banyaknya.
Maka Raja Suran pun masuklah ke dalam
peti itu, maka segala yang di luar semuanya habis kelihatan; maka
dikuncikan baginda pintu peti itu dari dalam. Maka dihulurkan oranglah
ke dalam laut, maka peti itu pun tenggelamlah, maka Raja Suran pun terus
melihat dari dalam peti itu, pelbagai kekayaan Allah subhanahu wa taala
dipandang baginda, moga-moga dengan takdir Yang Amat Kuasa, maka peti
Raja Suran itu jatuh ke dalam bumi yang bernama Dika.
Maka Raja Suran pun keluarlah dari dalam peti itu, lalu berjalan
melihat segala yang indah-indah; maka baginda bertemu dengan sebuah
negeri terlalu besar, lagi dengan teguhnya. Maka Raja Suran pun masuklah
ke dalam negeri itu, maka dilihat baginda dalam negeri itu suatu kaum Bu Sum namanya, terlalu amat banyak, tiada siapa mengetahui bilangannya; tetapi mereka itu setengah Islam dan setengah kafir.
Setelah mereka itu memandang rupa Raja Suran itu, maka sekalian orang
itu hairan tercengang-cengang dan takjub memandang pakaian baginda itu.
Maka oleh segala mereka itu akan Raja Suran dibawanya kepada rajanya.
Adapun nama raja mereka itu Raja Aktabu’l-Ard.
Setelah raja itu melihat rupa Raja Suran itu, maka ia bertanya pada
orang yang membawa baginda itu, “Orang mana ini?” Maka sembah orang itu,
“Baharu datang tuanku orang ini, dari mana-mana datangnya, kami
sekalian tiada tahu.”
Maka Raja Aktabu’l-Ard bertanya kepada Raja Suran, “Orang mana kamu
ini? Dan dari mana kamu datang ke mari ini?” Maka sahut Raja Suran,
“Adalah Hamba ini datang dari dalam dunia: Hambalah raja segala manusia,
nama Hamba Raja Suran.” Maka Raja Aktabu’l-Ard pun terlalu hairan
mendengar kata Raja Suran itu; maka katanya, “Adakah dunia lain daripada
dunia kami itu?” Maka sahut Raja Suran, “Bahawa alam itu terlalulah
sekali banyak, pelbagai jenis di dalamnya.”
Setelah Raja Aktabu’l-Ard
mendengar kata Raja Suran itu, terlalu amat takjub ia, seraya mengucap
subhanallahul malikul jabbar. Maka oleh Raja Aktabu’l-Ard akan Raja
Suran dibawanya naik duduk di atas takhta kerajaannya.
Adapun Raja Aktabu’l-Ard ada beranak seorang perempuan, terlalu baik parasnya, bernama Tuan Puteri Mahtabu’l-Bahri.
Maka oleh Raja Aktabu’l-Ard akan Raja Suran dikahwinkan dengan anaknya
Tuan Puteri Mahtabu’l-Bahri itu; antara tiga tahun lamanya baginda duduk
dengan Tuan Puteri Mahtabu’l-Bahri itu, maka baginda pun beranaklah
tiga orang lelaki.***
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment