Merong Mahawangsa

Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu tradisional dan tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan pada penulisan Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat al - Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain.

Hikayat ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa menjadi sumber keturunan raja-raja yang membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai negeri Kedah Zamin Turan.

Penulisan hikayat ini menggemblengkan ketiga-tiga unsur tempatan, unsur Hindu dan Islam dan ternyata cerita asal usul negeri Kedah ini dikarang selepas negeri itu memeluk agama Islam. Pengarangnya, seorang pujangga istana Kedah, amat setia pada struktur pensejarahan tradisional Melayu kerana memulakan ceritanya dengan mengemukaka asal usul rajanya, peristiwa yang menyebabkan raja itu memulakan pelayarannya, pembukaan negeri, jurai keturunan daripada raja yang pertama kepada yang terakhir (semasa penyalinan terakhir dilaksanakan), kisah pengislaman dan beberapa peristiwa yang ingin disampaikan oleh pengarang berkaitan sejarah negeri Kedah mengikut penilaian dan kacamata masyarakat sezaman.

Walaupun tidak semua hasil penulisan sejarah tradisional ditulis berdasarkan ciri-ciri penulisan sejarah tetapi hanya sebahagian daripada ciri-ciri tersebut, Hikayat Merong Mahawangsa tertulis dengan berpandukan kelima-lima ciri penulisan sejarah yang memaparkan konsep sejarah masyarakat zaman silam.
Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam pelayaran menuju ke Negeri China, angkatan yang mengiringi Putera Raja Rom diserang dan dimusnahkan oleh geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan Raja China

. Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau Langkapuri melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong Mahadipusat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya membuka negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga, seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal bersamanya di Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa

 

Pengarang tidak menyebut langsung perkaitan antara negeri Kedah dengan negeri Perak dan Patani tetapi menggambarkan wujudnya pertalian yang erat antara negeri Kedah dengan negeri Siam. Pengarang menceritakan bagaimana bermulanya tradisi penghantaran bunga emas dan bunga perak oleh negeri Kedah kepada Siam bila Raja Seri Mahawangsa (Raja Kedah yang ketiga) mendapat berita kekanda sulungnya Raja Siam mendapat putera. Terus raja Kedah memerintahkan supaya tradisi menghantar bunga emas itu diteruskan hingga ke akhir zaman setiap kali mendapat putera.

Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah puteranya, Raja Seri Maha Inderawangsa menentang perintahnya dan berkahwin dengan puteri bangsa gergasi. Perkahwinan inilah yang melahirkan Raja Bersiung, raja yang paling terkenal dalam hikayat ini. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih terkenal sebagai Raja Bersiung menjadi seorang Raja yang zalim terhadap rakyatnya sendiri dan tersingkir dari takhta. Baginda diganti oleh puteranya yang bergelar Raja Phra Ong Mahaputisat yang digantikan pula oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa.

Dalam zaman pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsalah, negeri Kedah menerima Islam yang dibawa oleh Syeikh Abdullah. Baginda merupakan raja Kedah pertama memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Mudzaffar (sic Muzaffar) Syah. Setelah selesai meletakkan asas keislaman di negeri itu, Syeikh Abdullah pulang ke Baghdad. Sultan Mudzalfal Syah diganti oleh puteranya bergelar Sultan Mu'azzam Syah. Hikayat diakhiri dengan jurai keturunan raja-raja yang memerintah Kedah hingga ke Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, raja yang memerintah semasa hikayat ini disalin kali terakhir.

Jelas kelihatan bahawa hikayat ini dikarang selepas ketibaan Islam dan pengarang banyak memberi perhatian kepada peristiwa-peristiwa tertentu yang menyerlahkan asal-usul rajanya, pertalian dengan Siam yang menceritakan mengikut kebijaksanaan pengarang untuk menjaga kedaulatan raja dan negerinya, kisah kedatangan Islam yang sengaja dikemukakan berbeza dengan kedatangan Islam ke Pasai dalam Hikayat Raja Pasai dan kedatangan Islam ke Melaka dalam Sulalat al Salatin (Sejarah Melayu) dan lain-lain peristiwa. Ini membuktikan bahawa hikayat ini dikarang secara sedar oleh pengarangnya dengan tujuan mengagungkan kedaulatan raja dan negerinya.

No comments:

Post a Comment