Tanah Merah ini sebenarnya adalah serpihan daripada Funan. Pada asalnya,
Negeri Tanah Merah ini merupakan satu Negeri Persekutuan, dikenali
sebagai Kalathana yang membawa maksud Tanah Raksasa.
Tanah Raksasa
Persekutuan ini mengandungi empat negeri iaitu:
1. Kalathana (Kelantan)
2. Thanathana (Terengganu)
3.Gangga Negara (Perak)
4. Kuli (Pahang)
Negeri-negeri dalam Kalathana ini telah bersetuju melantik
Bhadreswararaja, Raja Kalathana sebagai pemimpin persekutuan ini pada
418 M. Pada waktu itu Funan dinaungi oleh Empayar Campa, justeru
kewujudan persekutuan Kalathana ini tidak direstui oleh Maharaja Campa
sendiri, natijahnya pada 427 M, Maharaja Campa telah menghantar bala
tentera melalui Langkasuka untuk menghukum Raja Kalathana tersebut.
Serangan tersebut dapat dipatahkan dan perajurit Kalathana telah
melakukan serangan balas. Serangan tersebut telah membuahkan hasil yang
gemilang dengan merebut kawasan dari Langkasuka hingga ke Tambralingga
seterusnya menguasai seluruh Segenting Kra.
Pada masa yang sama, Campa turut terlibat dalam siri peperangan dengan
China hingga Maharaja Campa mengabaikan situasi empayarnya yang sedang
berpecah belah di bahagian selatan dengan menyerahkan urusan tersebut
kepada Funan. Kemenangan Kalathana terhadap angkatan Funan-Campa telah
membolehkan kerajaan mereka merdeka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana
kerajaan asing.
Raja Funan, Sresthawarman yang bergelar Wan Srestha tidak bertangguh
terhadap perlakuan Kalathana yang tidak diiktiraf itu, telah membuat
persiapan untuk merebut kembali kawasan Segenting Kra dan Semenanjung.
Persiapan ini telah diketahui oleh Bhadreswararaja dan baginda dengan
segera membuat hubungan diplomatik dengan Maharaja China pada tahun 430 M
untuk melindungi Kalathana dari diserang oleh Funan.
Maharaja China telah menjamin keselamatan Kalathana dengan menghantar
surat kepada Funan agar hasrat serangan itu dibatalkan. Negara Kalathana
dalam bentuk persekutuan empat negeri yang dicantumkan dengan wilayah
Segenting Kra (dari Langkasuka hingga ke Tambralingga) telah disebut
sebagai Ho-lo-tan, K’ou-lo-tan atau K’ou-lo-ch’ieh dalam rekod China.
Lahirnya Empayar Tanah Merah
Pada awal abad ke-6 Masihi, Kalathana telah dikuasai kembali oleh Funan
yang berpusat di Campa. Pada tahun 522 M, kerajaan Funan telah runtuh
akibat diserang oleh suku Khmer dari bahagian tengah Sungai Mekong.
Kalinggawarman, Raja Kalathana telah menyerang Funan dan berjaya
mengusir suku Khmer yang telah menawan kota Campa pada 556 M, seterusnya
membina kembali empayar Funan yang runtuh dan melaksanakan penaklukan
kembali wilayah kekuasaan Funan.
Pada 561 M pula, Kalinggawarman telah mengisytiharkan diri baginda
sebagai Maharaja Funan dan melantik adinda baginda Raja Gautama menjadi
Raja Kalathana seterusnya berfungsi sebagai gabenor tertinggi bagi
seluruh Segenting Kra dan Semenanjung.
Namun pada 566 M, Raja Gautama telah membelot kakanda baginda dengan
mengisytiharkan kemerdekaan Kalathana daripada Funan dan telah
memindahkan ibu kotanya dari kota Yawakotti, terletak di Hilir Kelantan
ke arah Hulu Kelantan yang dipercayai kawasan Nenggiri sekarang. Kawasan
baru ini amat strategik dari aspek ketenteraan dan perlindungan.
Perpindahan ibu kota ini sebenarnya dilakukan untuk mengelak serangan
daripada Funan, selain itu kawasan Hulu Kelantan juga kaya dengan
lombong-lombong emas.
Raja Gautama telah menukar nama Kalathana kepada nama baharu iaitu Tanah
Merah sesuai dengan lokasi ibu kotanya yang terletak di kawasan tanah
rata berwarna merah batu kawi. Baginda juga menamakan ibu empayar Tanah
Merah sebagai Kota Singa dan dirujuk oleh sarjana China sebagai
Seng-Chih atau Shih-tzu, manakala nama Tanah Merah dirujuk pula dengan
nama Chih Tu oleh China dan Raktamrittika oleh India.
Negeri ini hanya mencakupi Kelantan pada hari ini, Besut di selatan dan
Narathiwat di utara, memandangkan negeri-negeri lain dalam Segenting Kra
dan Semenanjung masih taat kepada Funan. Kalinggawarman, Maharaja Funan
tidak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Raja Gautama,
seolah-olah merestui tindakan adinda baginda membebaskan Kalathana dan
menubuhkan Tanah Merah. Sebaliknya baginda telah melantik adinda baginda
yang juga Raja Thanathana menggantikan Raja Gautama sebagai gabenor
Funan untuk wilayah Segenting Kra dan Semenanjung.
Empayar ini berkekalan sehingga abad ke-7 M ketika pemerintahnya, Sri
Jayanaga yang merupakan cicit Raja Gautama mewujudkan Empayar Sriwijaya.
Bukti sejarah
Batu Bersurat Cherok Tok Kun atau Batu Bersurat Budhagupta ditemui di
Province Wellesley (Seberang Perai) oleh Col. Low dalam abad ke-19.
Prasasti ini berukir dengan satu stupa dan satu chattravali di atasnya.
Manakala tulisan berada pada kiri dan kanannya. Tulisan ini yang ditulis
dalam huruf Pallava dari abad ke-5 (400-500 M) menyatakan kejayaan
dalam suatu pelayaran oleh seoang nakhoda kapal bernama Budhagupta,
seorang penduduk Negeri Tanah Merah. Berdasarkan sejarah yang
diterangkan dalam rencana ini, batu bersurat ini ditulis tidak lebih
awal dari tahun 566 M.
Pemerintah
1. Raja Gautama 566-591
2. Raja Sri Jaya 591-624
3. Raja Nayaka 624-667
4.Sri Jayanaga 667
ni kiranya asal daerah tanah merah kelantan tu ke?
ReplyDeletenmpknya mcmtu lah..lokasi kerajaan raja gautama pun sekitar situ..dkt dgn sungai nengiri..kawasan nengiri dikatakan tmpt baru kerajaan raja gautama..tak jauh dgn besut..
Delete